Pinjaman Wang Berlesen Yang Dipercayai 2023

Kalau nak buat pinjaman, jangan main pinjam suka-suka sahaja. Jangan hanya fikir cepat dapat sahaja sebab akan timbul masalah di kemudian hari. Kalau nak meminjam, pastikan buat pinjaman wang berlesen yang dipercayai sahaja sebab confirm berdaftar dengan kerajaan.

Jangan risau, kami akan kongsikan serba sedikit mengenai syarikat pemberi pinjaman wang berlesen ini.

Maklumat pinjaman wang berlesen dari KPKT

Syarikat pinjaman wang berlesen atau pemberi kredit adalah syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Ini bermakna, mereka tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan tidak boleh beroperasi sesuka hati.

Di bawah Bahagian Kawalan Kredit Komuniti bagi kementerian ini, ada akta yang mendefinisikan apakah antara kegiatan dan operasi yang dibenarkan. Ini adalah penting untuk membezakan mereka daripada along yang tidak berlesen.

Bukan itu sahaja, syarikat-syarikat pemberi kredit atau pinjaman ini juga perlu berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400). Jadi, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan berdasarkan akta tersebut. Sekiranya tidak, si peminjam boleh mendakwa mereka di mahkamah.

 

Semak syarikat peminjam ini berdaftar atau tidak

Apabila nama pun disebut sebagai pemberi wang berlesen, sudah semestinya syarikat-syarikat ini mempunyai lesen untuk beroperasi. Sebagai pengguna, anda boleh mengenal pasti sama ada syarikat itu pemberi wang yang berlesen atau tidak.

Anda boleh melakukannya dengan melayari laman web rasmi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Selain itu, anda juga boleh memeriksa lesen yang dimiliki oleh syarikat tersebut. Butir-butir lengkap yang harus terpapar pada lesen syarikat itu adalah seperti berikut:

  1. Nama individu, syarikat atau firma PEMBERI PINJAM WANG
  2. Alamat berdaftar pemohon lesen
  3. Alamat operasi perniagaan Pemberi Pinjam Wang yang diluluskan
  4. Syarat-syarat yang dikenakan oleh Pendaftar
  5. Nombor lesen
  6. Tarikh sah mula lesen
  7. Tarikh sah tamat tempoh lesen
  8. Tandatangan Pendaftar/ Timbalan Pendaftar yang meluluskan pengeluaran lesen tersebut

Sekiranya butiran-butiran ini tidak terpapar pada lesen syarikat tersebut, maka syarikat tersebut adalah tidak berlesen dan akan memberi risiko kepada anda sebagai peminjam.

Ini adalah satu kelebihan kepada syarikat-syarikat ini berbanding syarikat pinjaman duit segera yang tidak berlesen seperti along. Anda sebagai pengguna tidak akan mudah tertipu kerana lesen ini yang mewujudkan perbezaan antara syarikat pemberi wang berlesen dan along.

 

Check lesen dan permit peminjam duit

Selain itu, syarikat pinjaman wang berlesen DIWAJIBKAN untuk mempunyai permit sekiranya ingin membuat iklan mengenai operasi mereka. Syarikat-syarikat ini perlu mendapatkan permit iklan daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Anda sebagai peminjam boleh mengenal pasti sama ada syarikat ini berlesen atau tidak melalui iklan yang disebarkan. Mengikut Peraturan 8 Peraturan-peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Perlesenan) 2003, setiap iklan sama ada dalam bentuk papan iklan, banner atau kad WAJIB mengandungi butir-butir berikut:

  1. Nombor lesen Pemberi Pinjam Wang dan tarikh pengesahannya
  2. Nombor permit iklan
  3. Nama, alamat dan nombor telefon Pemberi Pinjam Wang berlesen
  4. Kadar faedah yang ditawarkan

Syarikat pemberi wang berlesen yang gagal mendapatkan permit daripada KPKT akan disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 11 AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951, yang mana syarikat itu akan dihukum denda tidak melebihi daripada RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

 

Pastikan ada perjanjian pinjaman peribadi

Di samping itu, anda sebagai peminjam juga diberikan hak dalam perjanjian pinjaman. Hak sebagai peminjam ini antara faktor yang membezakan syarikat pemberi wang berlesen dan juga tidak berlesen seperti along. Hak-hak anda sebagai peminjam adalah seperti berikut:

  1. Setiap peminjam hendaklah diberikan penyataan atau maklumat yang tidak mengelirukan bagi setiap pinjaman yang dibuat.
  2. Setiap perjanjian pinjaman hendaklah menggunakan borang pinjaman yang ditetapkan oleh Kementerian sahaja iaitu Jadual J (pinjaman tanpa cagaran) atau Jadual K (pinjaman dengan cagaran).
  3. Peminjam adalah berhak untuk diberikan satu salinan perjanjian secara percuma. Peminjam juga hendaklah mendapatkan resit bayaran bagi setiap bayaran balik pinjaman yang dibuat.
  4. Peminjam turut diingatkan supaya tidak menandatangani borang perjanjian yang kosong.
  5. Sebarang transaksi pembayaran pinjaman hendaklah diterima selepas perjanjian diisi penuh, dimatikan setem dan pembayaran dibuat di premis Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berkenaan.

Faktor lain bagi kelebihan berurusan dengan syarikat pemberi wang berlesen adalah perjanjian pinjaman anda perlu diakusaksi. Mengikut peruntukan Seksyen 27, AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951, setiap perjanjian memberi pinjam wang hendaklah diakusaksi di hadapan seorang Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi, seorang pegawai dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Pesuruhjaya Sumpah, Jaksa Pendamai, Pegawai Daerah atau orang-orang yang dilantik oleh Menteri untuk berbuat sedemikian.

Pengakusaksi hendaklah menerangkan terma-terma akan perjanjian memberi pinjam wang kepada peminjam dan hendaklah mengesahkan pada perjanjian tersebut bahawa peminjam tersebut telah memahami maksud terma-terma dalam perjanjian itu. Perjanjian pinjaman yang tidak diakusaksi dengan betul boleh menyebabkan perjanjian tersebut terbatal, tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

 

Kelebihan pinjaman wang berlesen berbanding bank

Apabila berbicara tentang pinjaman wang, lazimnya orang akan membuat pinjaman bank. Bagi peniaga pula, akan cuba dapatkan pinjaman bank untuk perniagaan pula.

Tapi, tahukah anda bahawa pinjaman wang berlesen ada kelebihannya yang tersendiri berbanding pinjaman bank dan juga syarikat-syarikat pinjaman wang tidak berlesen seperti along di luar sana? Apakah kelebihannya?

 

Pemprosesan Permohonan Pinjaman Yang Mudah

Pinjaman wang berlesen adalah lebih mudah dan disyorkan bagi mereka yang telah di’blacklist’, atau disenaraihitamkan.

Syarikat pinjaman wang berlesen menerima permohonan daripada individu yang telah disenaraihitamkan oleh bank, atau mempunyai rekod buruk dalam laporan CCRIS untuk pinjaman yang sedia ada daripada institusi kewangan yang lain, terutama sekali bank.

Ini berbeza dengan pinjaman bank. Untuk membuat pinjaman bank, bank akan meneliti keseluruhan rekod kredit anda, dari segi rekod pembayaran pinjaman, gaji, dan status kewangan di masa lalu.

Jika anda tidak memenuhi syarat minimum untuk pinjaman, seperti rekod CCRIS yang tidak memuaskan, kemungkinan permohonan anda tidak akan diluluskan. Pinjaman wang berlesen adalah lebih fleksibel dan tidak sukar untuk dimohon serta diproses. Jadi, kadar kelulusan permohonan adalah jauh lebih tinggi berbanding pinjaman bank.

 

Proses Yang Pantas

Di samping itu, pemprosesan permohonan pinjaman wang berlesen adalah sangat pantas berbanding pinjaman bank. Pemprosesan yang pantas membolehkan anda memperoleh wang pinjaman anda dengan pantas. Kadangkala, anda mampu memperoleh wang tersebut pada hari yang sama anda mula membuat permohonan. Hal ini kerana syarikat tersebut tidak perlu untuk mendapatkan wang tersebut daripada sumber-sumber lain.

Ini adalah berbeza dengan pinjaman bank. Bank akan membuat penelitian yang sangat teliti ketika memproses permohonan pinjaman wang anda. Kebanyakan bank memerlukan sehingga tempoh 5 hari bekerja untuk memproses dan meluluskan sesebuah pinjaman. Jadi, bagi anda yang memerlukan wang segera, anda tidak disyorkan untuk membuat pinjaman bank.

 

Kadar Faedah Pinjaman Wang Berlesen Lebih Rendah Berbanding Pinjaman Bank

Kebaikan lain mengenai pinjaman wang berlesen adalah kadar faedah yang lebih rendah daripada pinjaman bank. Syarikat pinjaman wang berlesen hanya dibenarkan untuk mengenakan kadar faedah maksimum 12% setahun untuk pinjaman bercagar dan 18% setahun untuk pinjaman tanpa cagaran. Perkara ini telah temaktub dalam Seksyen 17(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Kebanyakan syarikat ini tidak akan menyatakan kadar faedah yang mereka kenakan ke atas pinjaman melalui telefon atau e-mel, tetapi anda mampu untuk mengagak kadar faedah pinjaman akan berada di dalam lingkungan yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga kekurangan yang perlu dihadapi apabila anda ingin membuat pinjaman daripada syarikat peminjam wang berlesen. Kebanyakan syarikat pinjaman wang berlesen tidak menyediakan jumlah yang besar untuk anda membuat pinjaman pada satu-satu masa. Ini berbeza dengan pinjaman bank yang mampu untuk memberikan anda pinjaman wang sehingga enam angka.

Pinjaman sebesar ini lazim bagi anda yang ingin membeli rumah atau kenderaan. Ada syarikat pinjaman wang berlesen yang mampu menawarkan pinjaman wang sebesar itu, tetapi dengan modal yang kecil, adalah mustahil untuk anda membuat pinjaman lebih daripada itu yang mungkin boleh dicapai dengan pinjaman bank. Jadi, anda dinasihatkan untuk membuat pinjaman daripada syarikat pinjaman wang berlesen, hanyalah ketika anda memerlukan wang di saat-saat kecemasan.

Selain itu, walaupun peratusan kadar faedah yang dikenakan oleh syarikat pinjaman wang berlesen adalah lebih kecil daripada pinjaman bank, syarikat pinjaman wang berlesen tidak membiayai pinjaman anda untuk tempoh yang lama berbanding pinjaman bank. Kebiasaannya 10 tahun adalah tempoh yang paling lama. Ini adalah berbeza dengan pinjaman bank yang boleh membiayai pinjaman anda melebihi daripada 10 tahun.

Pada tahun 2019, syarikat yang menjalankan perkhidmatan memberi bantuan duit segera di Malaysia telah dijenamakan semula. Jika sebelum ini, syarikat-syarikat ini digelar sebagai Pemberi Pinjam Wang Berlesen (PPW). Bermula April 2019, syarikat-syarikat ini dinamakan sebagai Kredit Komuniti.

 

Akhir kata

Kesimpulannya, syarikat pinjaman wang berlesen mampu untuk membantu anda yang menghadapi masalah kewangan. Anda mampu untuk membuat pinjaman, memperoleh wang tersebut dengan cepat, serta tidak perlu untuk melalui prosedur yang rumit.

Syarat-syarat yang dikenakan untuk membuat sesebuah pinjaman juga adalah tidak ketat jika dibandingkan dengan pinjaman bank.

Yang penting, jangan pinjam duit dari along yang tidak berdaftar.

Walau bagaimanapun, buat perbandingan dahulu antara syarikat pinjaman wang berlesen dan juga bank, dan tentukan pinjaman yang sesuai berdasarkan masalah dan situasi semasa kewangan anda.

Fikirkan tujuan anda memerlukan wang tersebut, seberapa cepat anda memerlukan wang tersebut, dan yang lebih penting, tidak lupa untuk menjelaskan semula pinjaman tersebut kepada institusi kewangan tersebut. Buat perbandingan dengan teliti dan selesaikan masalah anda dengan segera.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment