5 Keburukan ASB Loan (Baca Dulu Sebelum Buat Pinjaman)

Mesti ramai yang tidak asing lagi dengan nama Amanah Saham Bumiputera (ASB). Namun, setiap perkara mesti ada kekurangan dan kelebihannya begitu juga seperti pinjaman ASB. Melalui artikel kali ini, kami akan mengupas tentang beberapa keburukan ASB loan yang mungkin anda tidak tahu.

Jangan ambil enteng perkara ini kerana nak buat pinjaman bukannya untuk sehari dua. Tetapi untuk jangka masa yang lama. Kalau tersilap langkah boleh menyebabkan kesusahan kepada anda akan datang.

Nak buat pinjaman dekat mana-mana bank atau institusi kewangan tidak menjadi masalah asalkan anda dah fikir masak-masak sebelum membuat keputusan. Sebelum anda pergi dengan lebih lanjut mengenai keburukan ASB Loan. Mari baca serba sedikit penjelasan mengenai apa itu pinjaman ASB.

Apa itu ASB loan?

Secara ringkas, ASB loan adalah pinjaman yang diberikan oleh bank dan institusi kewangan. Proses pinjaman ini akan dilakukan melalui pembelian sijil ASB oleh bank dan bank akan bertindak sebagai pemegang sijil tersebut dalam beberapa tempoh.

Seterusnya, perkhidmatan pinjaman ASB ini perlu dibayar kepada bank yang berkenaan untuk setiap bulan mengikut kadar yang telah ditetapkan. Selain itu, pelanggan akan menerima kadar dividen ASB untuk setiap tahun selama mana tempoh pinjaman yang telah dijanjikan.

Sekian ringkasan mengenai apa itu ASB loan. Sekarang, mari teruskan kepada keburukan ASB loan.

Keburukan ASB loan

1. Keburukan ASB loan dari segi patuh syariah atau tidak

Zaman sekarang, dah ramai orang yang sangat menitiberatkan halal dan haram walaupun dalam membuat pinjaman terutamanya untuk mereka yang beragama islam. Oleh itu, salah satu keburukan yang tidak dapat diketepikan oleh ASB loan sehingga ke hari ini adalah mengenai isu patuh syariah atau tidak.

Tidak lama dahulu, perkara ini telah menjadi perbualan dan perdebatan yang mana pada awalnya pelaburan ASB disifatkan sebagai tidak patuh syariah. Namun untuk beberapa tempoh selepas itu, Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan hukum pelaburan ASB adalah harus.

Oleh itu, anda dapat lihat status hukumnya pernah menjadi persoalan dan masih lagi boleh menimbulkan keraguan sehingga ke hari ini.

 

2. Perlu tunggu tempoh tertentu untuk mendapatkan sijil simpanan

Ini adalah salah satu keburukan ASB loan yang sangat ketara untuk anda yang bukan seorang penyabar atau tidak suka menunggu untuk mendapatkan sesuatu. Untuk proses ASB loanĀ ini, anda harus membeli sijil simpanan terlebih dahulu dan bank akan memegang sijil anda sehingga anda selesai membuat pembayaran pada tempoh tertentu yang telah dipersetujui.

Senang faham, anda tidak akan dapat sijil itu secara terus. Anda mesti habiskan pembayaran pinjaman dahulu sehingga cukup tempoh masa.

 

3. Sukar untuk difahami

Pada pendapat kami sendiri, bagaimana perjalanan proses pelaburan atau pinjaman ASB ini berlangsung adalah agak sukar untuk difahami oleh sesetengah orang. Ini kerana wujudnya beberapa jenis teknik yang harus dipelajari atau diikuti terlebih dahulu untuk mendapatkan manfaatnya.

Yang paling penting anda harus tahu adalah ASB loan ini tidak berjalan mudah seperti pelan pinjaman bank yang sedia ada. Banyak usaha yang diperlukan untuk mendapat hasilnya seperti perlu memahami konsep ASB loan ini sepenuhnya, ada matlamat yang jelas dan konsisten untuk mengelakkan kerugian.

Untuk mereka yang tidak suka perkara rumit, ASB loan ini bukanlah satu pilihan yang baik untuk anda.

 

4. Keburukan ASB loan yang mempunyai kadar dividen tidak tetap

Ramai orang berpendapat kadar dividen ASB ini adalah tetap walaupun sebenarnya ia adalah tidak tetap seperti yang mereka jangkakan. Pulangan dividen ASB akan ada naik dan turun bergantung kepada kadar inflasi Malaysia dan kadar faedah pinjaman yang ditolak daripada pihak bank setiap tahun.

Jika kadar dividen tahunan yang diterima adalah mempunyai peratusan yang rendah atau berada di paras bawah, maka untuk mereka yang membuat ASB loan akan terkesan dan berkemungkinan menanggung kerugian.

‘Semakin rendah peratus pulangan dividen, semakin rugi’.

 

5. Perlu konsisten dan berkemampuan

Sedar atau tidak. Sebenarnya, untuk menggunakan perkhidmatan ASB loan ini anda perlulah konsisten dan berkemampuan untuk membuat bayaran secara bulanan. Ramai yang tolak tepi soal kemampuan asalkan mendapat pulangan yang lumayan. Namun, tanpa mereka sedar bahawa pulangan tersebut adalah tidak menentu.

Ada masa naik, ada masa turun. Andai kata waktu itu kadar pulangan adalah rendah, anda akan rugi dan ada kalanya tidak dapat apa-apa untung langsung.

Tambahan lagi, apabila anda tidak konsisten dalam membuat bayaran bulanan. Rekod kewangan anda akan terjejas dan akan menyukarkan anda untuk membuat pinjaman lain atau disenaraihitamkan oleh mana-mana bank atau institusi kewangan lain.

 

Akhir kata

Kesimpulannya, kalau anda nak cuba apa-apa pelaburan atau buat pinjaman pun pastikan anda fikir dulu sebelum buat keputusan. Bimbang nanti memudaratkan dan membebankan kewangan anda di masa akan datang.

Diharapkan perkongsian kami mengenai keburukan ASB loan ini sedikit sebanyak dapat memberikan pencerahan dan membantu anda buat pilihan yang lebih baik. Namun, segala keputusan adalah di tangan anda. Kami doakan anda dipermudahkan urusan.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment